SUSAH KE NAK SOLAT?

Assalammualaikum wbt...
Hari ini puteri nak cerita tentang solat. Awak tahu tak apa itu solat? Solat itu adalah satu ibadah yang utama buat umat Islam di seluruh dunia. Awak tahu tak solat itu tiang agama? Awak tahu tak solat itu benteng Iman? Awak tahu tak solat itu saham akhirat? Puteri harap awak-awak yang membaca ni tahu apa itu solat, mudah-mudahan..



Puteri nak cerita pengalaman puteri, bukan nak aibkan tapi nak bandingkan suasana di mana puteri perlu jaga diri, jaga Iman, dan mencari terus mencari tanpa ada kesesatan. Dulu abang puteri pernah ceritakan suasana dia belajar di universiti. Dia cerita ada seorang kawan dia bila musim peperiksaan sahaja solat, bila bukan musim peperiksaan solat entah ke mana. Siap pula, masa musim peperiksaan ajak kawan-kawan solat, bagus ajakan itu tapi kenapa perlu on and off solat? Adakah solat itu macam chipsmore?

Bukan itu sahaja, ada juga yang mengait rapatkan solat dengan parti politik. Abang puteri ceritalah ada kawan dia pro kerajaan,abang puteri ceritalah::

Kawan A: Wey mak bapak ko solat ke?
Abang : Haah laa kenapa?
Kawan A: Sah orang PAS!
Abang: Apa kena mengena?
Kawan B: Habis mak bapak ko orang BN tak solat ker der?
Kawan A: (buat muka toye, rambut berwarna, telinga bersubang)......???

Okey ini situasi sebenar di mana abang puteri yang mengalaminya. Bukan nak buat reka cerita skrip drama ke apa, tapi nak tegur apa kepentingan kita sebagai Muslim wajib bersolat!

Pada mulanya, puteri tak percaya ada orang yang macam itu, sebabnya puteri belum lagi keluar dari kawasan orang-orang yang bukan belajar sealiran dengan puteri. Puteri ambil aliran agama, tapi korang jangan percaya bulat-bulat, ada juga orang yang dah belajar agama tinggi-tinggi tapi jatuh ke lembah dosa juga. Manusia kan tak sempurna. 

Tapi bila puteri dah berada di IPTA, puteri sendiri nampak keadaan orang yang suka meremehkan soal solat, macam-macam ragam ada. Puteri hanya mampu melihat dan terus melihat. Puteri belum mampu lagi nak menegur, kalau setakat nak mengajak, Insyaallah itu sahaja yang puteri mampu lakukan. Puteri sebenarnya rasa terkilan juga, sebab puteri sendiri tak mampu nak mengajak kawan-kawan puteri yang puteri sayang untuk ke syurga sama-sama. Tapi puteri bukanlah sekuat Aisyah untuk berdakwah, puteri memerlukan orang lain untuk bimbing puteri juga. 

Dulu, puteri tak pernah terfikir pun untuk melanjutkan pelajaran di bumi universiti yang sekarang puteri menuntut sebab puteri tahu kat situ susah nak dapatkan ilmu agama yang puteri mahukan. Orang cakap kalau menuntut di situ perlu kekuatan yang luar biasa untuk menahan godaan iman. Memang betul bukan nak burukkanlah tapi itu realiti yang puteri sendiri nampak. Puteri rindu suasana di sekolah dulu, senang nak tahu macam-macam ilmu agama. Apa yang puteri dapat kat sini hanya ilmu duniawi, kalau nak ukhrawi puteri kena prefer kepada kawan-kawan puteri yang belajar di universiti lain, Puteri nak juga jadi pendakwah, tapi puteri sendiri tak terdakwah. Puteri sedih, sebab itu kalau puteri rasa kosong puteri akan minta doa ibu supaya dikuatkan iman puteri.

Puteri nak ceritalah, puteri sanggup marah kawan puteri semata-mata untuk solat! Puteri pantang kalau orang sengaja melengah-lengahkan waktu solat bila waktu musafir, berjalan tanpa ada niat yang pasti kerana Allah. Sebab itu puteri cuba elakkan diri untuk bermusafir dengan orang yang puteri kenal suka meremehkan solat! Jangan marah tapi ini realiti. Puteri memang pantang. Masa tu puteri tak fikir apa sangat apa yang penting puteri wajib tunaikan tanggungjawab puteri sebagai hamba. Puteri cakap dengan kawan puteri:

Puteri: Aku nak solat Maghrib ni, korang tak nak pergi solat ke?
Kawan: Weyh tengoklah jam dah pukul berapa, nanti nak bayar sewa kereta banyak kot!
Puteri: Otak ko! Aku nak solat! Aku tak kira! Apa ko ingat boleh suka-suka nak qada' je ke? Ingat boleh jama' ke kalau balik rumah nanti? Itu namanya jama' tak payah!
Kawan:........bengang.....
Puteri terus cari surau kat mall tersebut.....alih-alih lepas solat kawan pun sertai sekali, Alhamdulillah Ya Allah...saat kemarahan ku ini kau redakan dengan hidayahMu buat kawanku.

Bukan itu sahaja suasana yang dihadapi puteri, macam-macam lagi perangai dan ragam yang puteri sendiri pun tak faham. Mereka semua ni dah cukup 100% ke pahala terkumpul nak bawa saham akhirat kelak? Sedangkan puteri kalau tertinggal solat, sebab bangun lambat pun rasa hidup ni kena lempar batu api neraka dah...sebab itu puteri semalas manapun puteri tetap gagahkan diri untuk solat, selemah mana badan pun kalaupun rasa nak mati, puteri gagahi diri nak solat, rasa takut tak dapat solat itu lebih dari segala-galanya. 

Mula-mula, dan buat pertama kalinya puteri balik menaiki kereta api, puteri keliru dan terengang tak tahu nak solat dalam kereta api macam mana, tapi Alhamdulillah Allah kelilingkan puteri bersama sahabat-sahabat yang baik. Puteri sangat berterima kasih dengan seorang sahabat puteri ni, puteri panggil dia Abe Nie, dia banyak mengajar puteri erti jangan putus asa, bersabar dan dia juga ajar cara solat dalam kereta api. Puteri sememangnya berterima kasih sangat dengan ilmu yang dia kongsi tu.

Persoalan yang selalu akan berlegar-legar dalam kepala puteri adalah: 

"Kenapa orang yang tak solat atau yang selalu tinggal solat, selalu dapat apa yang dia nak?" 

Akhirnya persoalan itu sudah terjawab bila puteri tengok satu rancangan dakwah yang sangat bagus, tapi tak ingat tajuk rancangan tu. Jawapannya, 

"Allah bagi semua apa yang dia nak di dunia ini kerana  di akhirat kelak dia tidak akan dapat apa-apa, sebab itu kelihatan keadaan kehidupan dia di dunia begitu indah bagai syurga, dia nak kejayaan Allah bagi, dia nak kemewahan Allah bagi. Tapi di akhirat kelak dialah ornag yang paling bodoh dan juga termiskin di kalangan orang lain, kerana dia dah merasa nikmat yang tak seberapa kalau nak setanding nikmat di syurga Allah"

Lalu, puteri tersenyum kerana usahlah gusar kita usaha apa yang termampu, kalau itu sahaja Allah bagi, kita bersyukur jangan putus asa, jangan salahkan takdir, itu sudah mencukupi buat kita supaya tidak sombong dan takbur. Allah itu Maha Adil dan Maha Mengetahui apa yang hambanya perlu, bukan apa yang hambanya minta. 

Rasanya sampai di sini sahaja catatan puteri nak kongsi cerita solat dengan kawan-kawan semua. Semoga daripada cerita yang dialami oleh puteri dapat membuka minda kawan-kawan. Insyaallah, puteri doakan semoga hati, iman, taqwa, akidah dan ibadah kita sentiasa ada untuk Allah. Puteri sayang kawan-kawan puteri, puteri tegur tanda puteri sayang sangat untuk sama-sama rasai nikmat syurga, bukan nak berlagak puteri alim ke, warak ke, paling sempurna ke, tapi puteri rasa serba salah nak tegur macam mana, nak ajak macam mana, puteri takut akan ada rasa kecil hati, padahal niat puteri nak ajak sama-sama ke syurga Allah, puteri tak naklah pergi sorang-sorang, kalau boleh puteri nak kawan puteri sama-sama cari jalan Allah. Mudah-mudahan niat puteri untuk menegur ini tercapai matlamat. Aamiin Ya Rabb...Sekian wassalam

0 Comments:

 

Copyright by © 2013 Studio Puteri Nabilah