BAB 1: REZEKI ALLAH BAGI, TAPI RAMAI LUPA DIRI, SOMBONG DENGAN ALLAH

Assalammualaikum wbt..


Pada kali ini, puteri nak timbulkan satu isu di mana rezeki, nikmat, ujian dan dugaan dalam hidup kita. Dengan tajuk yang diberi sangat tepat pada masanya untuk manusia zaman sekarang perlu sedar dan ketahui. Mudahnya kita lupa diri, lupa Allah bila kita senang. Sombongnya kita bila disuruh sujud kepada Allah 5 kali sehari. Riaknya kita bila disuruh beristighfar supaya kita tidak bongkak kepada insan lain. 'Ujub dan takburnya kita bila disuruh bersyukur dengan kata syukur Alhamdulillah setiap kali rezeki diberi, walaupun hanya secubit kuman. Inilah realiti wajah, sikap dan sifat manusia yang tak pernah kenal erti syukur.

Bila bab politik dicampur adukkan dengan soal rezeki dan soal agama, masing-masing kuat nak tegakkan parti masing-masing. Walhal semuanya adalah perancangan dari Allah. Begitu juga soal rezeki setiap makhluk yang diciptakanNya, dari bertahun-tahun dan berabad lamanya. Tapi kita masih tak pernah sedar, masih juga di takuk lama, tak pernah nak bersyukur walau sekelumat kecil kita dapat rezeki dari Allah, mati-matian kita cakap itu tak adillah ini tak kenalah selalu mengeluh. Hakikatnya manusia itu akan rasa tak pernah cukup bila hati tak pernah ada perkataan syukur untuk diucapkan kepada Allah yang Maha Pemberi Rezeki. 

Puteri sebenarnya ada banyak nak cerita dari pengalaman puteri sendiri, dari sudut rezeki dan nikmat yang Allah bagi kepada manusia ini sangat berbeza. Bukan semua manusia mendapat bahagian dan hak yang sama. Kadang-kadang kita akan melihat dan bertanya, kenapa dia itu miskin, kenapa dia itu kaya, kenapa dia terseksa, kenapa dia bahagia. Setiap manusia itu ada perbezaanya. Kalau manusia semua dapat bahagian yang sama, macam mana nak membezakan siapa yang berusaha untuk jalan Allah dengan siapa yang berusaha hanya untuk duniawi semata? Setiap ujian dan dugaan itu adalah nikmat sebenarnya, kerana nikmat yang sebenar, kita akan dapat bila di akhirat kelak. Allah menjanjikan sesuatu yang pasti, hanya manusia yang takkan tahu untuk menepati janji itu.

Situasi 1: Rezeki di kalangan ahli keluarga.

Dalam setiap ahli keluarga, adakalanya di antara adik-beradik ada yang IQ mindanya rendah, ada yang IQ mindanya tinggi. Ada yang pandai dan ada juga yang kurang pandai. Ada yang cukup sifatnya dari fizikal dan mental dan ada juga yang kekurangannya. Ada yang kaya raya dan ada juga dikalangan fakir miskin, ada juga yang bersederhana. Tapi pernahkah kita terfikir kenapa Allah tak bagi sama rata kebahagiaan harta, hati dan kasih sayang yang sama? Hatta dalam ahli keluarga kita masing-masing? Ya, ahli keluarga kita juga manusia, yang akan dikurniakan pelbagai ujian dan dugaan. Ujian dan dugaan yang datang itu Allah yang beri, apakah tandanya? Itu tandanya Allah terlalu sayang pada kita. Cuba fikirkan sejenak, apakah bahagia orang yang tak terima sebarang ujian dan dugaan dari Allah? Tidakkan. Adakala mereka bahagia harta banyak, anak-anak pandai, tapi akan datang, kadang-kadang Allah bagi ujian itu lagi teruk dari orang menerima ujian dari awal kehidupannya. Supaya kita sentiasa sedar, hidup ini ibarat roda, kadang-kadang kita di atas, kadang-kadang kita di bawah. Ianya juga supaya kita kena sentiasa ingat jangan sombong, jangan berlagak bila kita perolehi rezeki yang lebih daripada orang lain, bahkan kita digalakkan untuk berkongsi bersama mereka supaya bahagia itu sentiasa ada dan tanda kita syukur Allah bagi nikmat.

Selalu sangat puteri dengar cerita, ada adik-beradik berlagak sombong antara satu sama lain. Akibatnya, sifat dendam dan dengki bertambah dalam hati. Bukankah rugi bila di antara ahli keluarga yang susah senang kita bersama dari kecil sampai besar, setiap kenangan gurau senda terhambus macam tu sahaja. Akibatnya runtuhlah baitul Muslim itu. Ruginya. Tapi kadang-kadang kita tak sedar, kenapa jadi macam itu sekali. Sepatutnya kita siasat kenapa perkara tersebut terjadi. Kalau tak mampu menegur secara lisan, kita berdoa agar dilembutkan hati-hati dikalangan ahli keluarga supaya bersatu, barulah baitul Muslim itu indahkan? Bukankah bahagianya bila satu keluarga dapat berkumpul, saling bermesraan, bekerjasama, saling menolong dan sebagainya antara satu sama lain, tak perlulah berlagak atau sombong sebabnya semua yang kita dapat itu bukanlah kita yang punya tapi semuanya datang dari Allah. Kadang-kadang puteri pelik, ada yang bergaduh sana sini dan ada juga yang sanggup berbunuh-bunuhan sesama keluarga sendiri hanya kerana HARTA! Inilah masalah mentaliti masyarakat yang tidak ditarbiyah oleh agama. Islam itu indah. Sekiranya acuan yang diadun itu sangat indah dengan panduan Al Quran dan Sunnah mesti kejadian ini tidak berlaku. Tapi kita siapa? Ya, kita hanyalah manusia yang ada pasang surut dan naik turun imannya. Tapi adakan jalan penyelesaiannya? Ya, ada. Jalan penyelesaiannya adalah Allah. Apa-apa yang kita lakukan sandarkan ia dengan Allah. Semoga hati-hati kita tidak terhibur dengan godaan syaitan dan tohmahan duniawi. Ingat satu perkara, setiap apa yang kita lakukan, setiap perilaku, hidup dan mati kita hanyalah satu iaitu Allah. 

Realiti yang selalu puteri lihat dan dengar setiap apa pun dugaan dan cerita dalam dikalangan ahli keluarga besar puteri sendiri. Macam-macam masalah berlaku. Dari segi hutang, fitnah, dendam, dengki, kasih sayang, perebutan harta, ketidak adilan dan sebagainya menjadi punca dalam setiap ujian hati. Apabila disiasat puncanya, kebanyakannya tersasar dari panduan Al Quran dan Sunnah. Tapi, Alhamdulillah setakat ini belum ada yang pernah berlaku penceraian. Semoga terhindar dari isu ini. Dalam isu ini, benda perkara yang utama adalah ada yang sukar memenuhkan Rukun Iman dan Rukun Islam. Apabila dua perkara yang utama tidak ditarbiyahkan dalam keluarga sendiri memang sukar nak tarik hati itu untuk menjadi lebih baik dan jauh dari keburukan. Sebabnya dah terlalu kotor dan hitam untuk menerima apa jua teguran atau pandangan orang lain. Betul, tak semua manusia sempurna, tapi Allah bagi peluang untuk jadi lebih sempurna bukan? 

Sedih juga bila dengar macam-macam cerita. Tapi apa boleh buat, itu sebahagian ujian buat mereka. Kita sebagai sebahagian daripada keluarga mereka hanya mampu doa yang terbaik buat mereka. Tapi satu sahaja kes yang menjadi punca utama bagi puteri, yang mungkin ramai orang tak teragak-agak untuk nak percaya atau tidak, iaitu tentang satu hal yang bakal puteri suarakan ini. Sebagai orang muda, hatta orang yang berideologi teknologi kini, bukan mudah nak percaya sesuatu perkara yang ghaib. Kadang-kadang kita terlepas satu perkara ini. Yang masa lalunya, kita tak tahu ada di antara orang-orang tua kita zaman dulu, banyak buta agama. Kebanyakan mereka lebih percaya pada perkara yang tahyul. Tapi kesan dan akibatnya terkena kepada anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit serta generasi akan datang. Yang sekarang lebih dikenali sebagai SAKA. 

Saka ini bahaya kalau kita tak membuangnya atau berusaha untuk mengubatinya bagi menghilangkan saka ini. Macam-macam boleh terjadi sekiranya saka ini tidak dibuang. Apa yang menjadi pengalaman puteri dan keluarga sepanjang perkara ini pernah terjadi kepada kami, adalah terlalu banyak gangguan yang boleh memecah belahkan ahli keluarga sehingga boleh melibatkan dendam, hasad dengki, cemburu api, pergaduhan, penceraian dan sebagainya. Dari situ, sebagai Muslim siasatlah dari awal mencari titik punca kenapa ia berlaku, walaupun sedaya upaya kita tepis. Apa yang banyak terjadi dalam keluarga puteri semasa saka masih menguasai keluarga kami antaranya adalah anak-anak menjadi baran dan memberontak tak tentu pasal, hubungan suami isteri menjadi selalu renggang, sakit tak pernah nak sembuh walaupun banyak kali berubat, sukar mendapat anak dan jodoh serta berlaku perselisihan faham antara adik-beradik. 

Di sini, puteri nak buka satu rahsia. Rahsia yang menghalang berlakunya perkara sebegini dapat dielakkan. Dalam Al Quran juga banyak menyatakan bahawa seseorang muslim itu hendaklah percaya adanya perkara ghaib yang terkandung dalam rukun iman yang 6. Tapi ada sesetengah orang di kalangan kita tak percaya kepada perkara ghaib yang melibatkan jin dan syaitan, yang mana boleh menguasai manusia melalui saka. Di situlah puncanya. Puteri sukar nak cerita lebih mendalam dalam soal ini, sebab bukanlah kepakaran puteri nak menyelesaikannya. Tapi sekadar ingin berkongsi, bagaimana kami sekeluarga mengharungi setiap ujian dan dugaan serta tohmahan orang lain yang belum pernah atau tidak pernah mengalami perkara yang kami lalui.

Setiap tahun, keluarga kami ditimpa macam-macam masalah. Pada mulanya kami tak tahu di dalam keluarga kami ada yang "menumpang bahagia". Siapa yang "menumpang bahagia" itu? Siapa lagi kalau bukan belaan dan kepercayaan orang-orang tua kami dulu. Mungkin mereka tak tahu kesan akibatnya kalau mempertuhankan jin dan syaitan. Sebab dulu mungkin agama Al Quran belum lagi tersebar luas sepertimana yang sekarang, tapi mungkin itu bukanlah alasan untuk 100% kita percaya pada benda tahyul, bukan? 

Macam-macam kami lalui bersama. Kadang-kadang itu, perasaan berputus asa pernah terbit dalam hati kami. Tapi Alhamdulillah, setiap ujian yang Allah beri itu ada hikmah dan nikmat yang Allah ganti. Allah sayangkan kami. Allah beri kami petunjuk, dari satu ujian ke satu ujian. Dari setiap ujian dapat satu nikmat, dan setiap nikmat itu Allah uji untuk tahu kita masih sedar atau tidak. Semua hidup kita hanyalah bergantung kepadaNya. Bersyukur Alhamdulillah, Allah sedarkan kami, apa yang perlu kami amalkan, apa yang perlu kami sebarkan, apa yang perlu kami kerjakan dalam setiap amal dan ibadah. Nak cerita lebih lanjut pun, terlalu panjang untuk dikarang satu persatu. Hanya mampu memberi bayangan dan cerita ringkas untuk sedarkan sesiapa sahaja yang melalui perkara yang sama atau tidak agar jangan sesekali kita terus lupa, dalam kehidupan kita di dunia ini, kita berkongsi dengan pelbagai jenis makhluk ciptaanNya, sama ada kita sedar atau tidak dengan mata kasar atau mata hati. 

Baiklah, setakat ini sahaja yang mampu puteri ceritakan dalam slot kali ini. Insyaallah akan datang puteri nak berkongsi pendapat dan fikiran puteri sendiri dalam situasi ke 2 yang mana melibatkan masyarakat kita pada masa kini. Semoga apa yang baik itu datangnya dari Allah, apa yang buruk itu datangnya dari kekurangan diri puteri sendiri. Walau hakikatnya kedua-dua perkara baik dan buruk itu datangnya dari perancangan Allah. Semoga kita sentiasa diredhai dan diberkati dalam hidup dan setiap perkara yang kita lakukan hanyalah untuk Allah.

Sekian wassalam.

0 Comments:

 

Copyright by © 2013 Studio Puteri Nabilah