DILEMA DALAM PILIHAN

Assalammualaikum wbt..



Alhamdulillah bersyukur aku kepada Allah dikurniakan oleh orang-orang yang baik di sisiku. Selama 8 bulan aku menanti dan menanti panggilan yang aku perlukan untuk memulakan lubuk rezeki aku. Setiap orang berbeza rezekinya termasuk aku. Tatkala, sahabat-sahabat aku di ambang perkahwinan, di bahtera kekeluargaan, aku masih di sini dan bersendiri menanti status yang dinantikan. Dalam waktu penghujungnya bulan Mac 2017, aku dihujani pelbagai tawaran kerja yang mungkin membuatkan aku dalam dilema. Antara minat dan kewangan. 



Pertama kali aku mencuba nasib memohon satu kerjaya yang memang aku minati sejak dari azali lagi, dan impian aku serta matlamat aku punya satu iaitu memiliki galeri sendiri. Kerjaya yang aku ingin ceburi adalah graphic designer. Tapi disebabkan aku bukanlah dikalangan yang mahir serba serbi dan masih memerlukan tunjuk ajar, ada secubit perasaan rendah diri untuk mencuba bidang ini. Aku yakin di hadapan majikan yang bakal mengambil aku berkerja tapi hakikatnya aku masih ada secubit perasaan khuatir dengan bidang yang aku minat. 

Khamis, 23 Mac 2017 aku bertemu dengan bakal majikan aku untuk ditemuduga. Saat itu harapan aku setinggi gunung untuk mendapatkan apa yang minat. Alahmdulillah sepanjang temuduga tersebut aku lancar berkata-kata tanpa perasaan gemuruh, cumanya aku kekurangan keyakinan untuk meneruskan segala minat aku pabila ditanya soal editing video dan designing yang formal. Aku boleh buat cumanya aku perlukan dorongan dan sokongan. Penemu duga aku seorang yang humble bagi aku sebabnya pertama kali aku pergi temu duga di Secret Recipe, Setia City Mall. Tak seperti sebelum ini kebanyakannya di pejabat masing-masing. Dalam waktu yang sama sebelum aku pergi temuduga tersebut aku mendapat satu panggilan yang ditunggu-tunggu aku. Panggilan kerja dengan gaji lumayan gaji basic RM3K, kalau nak diikutkan kehidupan di bandar dan keadaan sekarang ekonomi tak menentu pasti ramai ambil kewangan sebagai jalan penyelesaian. Tapi aku masih terus dalam dilema. Ibu dan ayah hanya mengikut keputusan aku. Aku berbelah bagi antara minat dan gaji yang lumayan. Waktu itu hati aku tergerak untuk bekerja sebagai designer kerana itu minat aku dan kekuatan aku, tapi kepala aku memikirkan dan mengira-ngira bagaimana pula kos kehidupan aku untuk membiayai hutang PTPTN, bayaran kereta (bila kereta dah ada nanti), sewa rumah, bil air, api dan internet semuanya kos tinggi perlu dikeluarkan. Aku berfikir dan terus berfikir untuk penyelesaiannya. Ibu menyuruh aku buat solat istikharah mohon petunjuk dariNya. Bermesyuarat dan perbincangan sudah dilakukan antara ibu dan ayah. Aku follow apa yang Islam ajar pada aku di saat aku dilema apa yang perlu aku lakukan untuk mendapat yang terbaik dan keredhaan dari Allah. 



Selepas usai Solat Subuh, sebelum pergi temu duga, aku beristikharah memohon petunjuk dari Allah, bukan dari mimpi malahan dari segi lain Allah beri aku jawapan yang mudah. Aku berdoa, permudahkanlah segala urusan aku. Aku tidak berkata yang mana satu perlu aku pilih tapi aku memohon permudahkan segala urusan aku. Usai sahaja berdoa, aku bersedia untuk pergi temu duga dengan fikiran yang terbuka dan hati yang lapang. Berfikiran positif mungkin ini jawapannya kerana ianya dipermudahkan urusan untuk ibu dan ayah menemani aku pergi ke sesi temu duga tersebut. Selepas aku di temu duga, aku berasa lega dan yakin ini mungkin jawapan yang aku pasti dapat tawaran kerja ini. Dalam perjalanan pulang aku tak berhenti bercerita itu ini dan berbincang bagaimana pula nak cari penginapan dan penganngkutan. Dalam bercerita dan bercerita tanpa dijangka, ada tertera satu panggilan nombor pejabat. Aku terus menjawab panggilan tersebut dan ianya membuatkan penantian aku berakhir. Aku dapat panggilan latihan SL1M Tabung Haji. Pada awalnya memang itu harapan ibu ayah nak aku bekerja di bawah Tabung Haji sejak dari zaman belajar di universiti lagi. Walau hakikat sebenar ayah aku lebih menyuruh aku menjadi seorang pensyarah. Aku terpaksa meredhai harapan ayah dan ibu kerana aku tahu keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu dan ayah. Apa sebab aku rela mengikut apa sahaja yang ibu ayah cadangkan, sebabnya apa yang aku rancangkan tanpa keredhaan mereka berdua, segala kerja aku jadi tak menentu dan kelam kabut, Bila aku follow apa yang mereka harapkan Alhamdulillah semuanya smooth je perjalanannya. Sebab itu walaupun hati aku kuat memberontak tapi aku tak boleh nak menafikan hak mereka berdua. Mungkin kali ini tugas aku sebagai anak untuk sentiasa berdekat dengan mereka setelah 5 tahun merantau di negeri orang untuk menimba ilmu. 

Mungkin bila kamu kamu yang sudi membaca al kisah aku ini, akan merasakan aku bodoh memilih SL1M yang belum tentu kau dapat serap atau tidak. Tapi aku percaya pilihan ke 3 ini jawapan paling kuat untuk doa yang aku minta. Sebabnya aku training 6 bulan dengan elaun RM1500 sebulan, dan berdekatan dengan rumah aku dan mudah aku nak pergi kerja sebab ibu benarkan pinjam kereta dia sementara tunggu process pembelian kereta 2nd hand. Dengan harga itu aku boleh kumpul duit aku untuk jadikan modal berniaga kecil-kecilan. Aku tidak perlu mencari rumah sewa, membayar bil-bil dan makanan pun tak perlu difikirkan kosnya. Itulah kemudahan urusan yang mungkin Allah beri untuk aku sebagai jawapan kepada doa yang aku minta. 

Walaupun hati ini berat menolak tawaran kerja sebagai designer, dan rasa serba salah kepada penemu duga tersebut, tapi aku perlukan berfikiran sebegini supaya ibu ayah tak perlu risau nak menyediakan pengangkutan segera dan wang tambahan untuk menampung bayaran kehidupan aku lagi. Cukuplah aku 5 tahun (3 tahun degree dan 2 tahun master) di negeri orang dengan hasil duit peluh ibu ayah menanggung lebih untuk aku selama 26 tahun ini. Sebab itu aku buat keputusan demi kebaikan semua orang dan kebaikan untuk aku juga, aku positif diri aku, untuk mencabar dalam jangka masa 6 bulan ini aku kumpul duit dan bersungguh-sungguh unutk mendapat apa jua position dalam Tabung Haji. Doa ibu Insyaallah makbul.

Setiap orang ada jalan cerita dan ada dilema dalam kehidupan. Bukan senang nak memilih. Ada Pros dan Cons. nya. Dan aku melibatka diri mencuba yang terbaru dalam bidang yang mungkin tak nampak minatnya dan belajar dari latihan yang disediakan oleh pihak Tabung Haji ini, mungkin ini yang terbaik untuk aku lebih mendekati diri kepada Allah. Aku menyayangi dan mencintai ibu ayah aku. maka aku cuba kerjakan apa yang dicintai oleh mereka, kerana aku percaya setiap apa yang keluar dari mulut mereka dan hajat mereka pasti Allah permudahkan segala perjalanan yang bakal aku lalui nanti.

Sekian wassalam.


 

Copyright by © 2013 Studio Puteri Nabilah